Cinta makrifah tiada bercerai
Berperdu akar tauhid ketuhanan
Bersemi kasih bagai lazuardi
Terbias cahaya dari nurani
Roh jasad tiada kan terpisah
Sementelah jua ulama dan umara....
Dalam Islam yang Hadhari, realiti atau
hakiki, peranan ulama tidak boleh diperkecilkan. Tanpa ulama yang mendidik
(tarbiah) dan memberi ilmu (taalim), usaha ke arah membina Islam sudah tentu
akan gagal. Kerana tanpa didikan dan ilmu, kita tidak akan tahu bagaimana
berbuat sesuatu dan ke arah mana usaha kita perlu dihala. Kita juga tidak akan
ada kekuatan roh dan jiwa untuk melaksanakannya. Kerja membangunkan Islam bukan
calang-calang kerja. la bukan perkara kecil atau mudah. la penuh dengan
kepayahan, pengorbanan dan keperitan. Tanpa ilmu dan didikan, kita akan jadi
kaku dan beku. Tanpa ilmu kita kaku untuk bergerak. Tidak tahu bagaimana dan
apa caranya. Tidak tahu arah tujuannya. Tanpa didikan pula kita akan beku.
Walaupun ilmu ada, tetapi kita tidak ada kekuatan dalaman atau kekuatan jiwa
untuk mengharungi ujian, kesusahan dan pancaroba yang pasti akan dihadapi.
Ulama seperti manakah yang boleh dan mampu
mengajar dan mendidik kita ke arah pembangunan Islam?
Ulama seperti manakah yang boleh menjadi sumber
inspirasi dan sumber rujukan kepada para umara dan rakyat jelata yang terlibat
dalam membangunkan Islam?
Siapakah yang dikatakan ulama itu? Adakah orang
yang agak tinggi ilmu Islamnya itu ulama? Apakah pula peranannya?
PENGERTIAN ULAMA YANG SEBENAR
Hadis ada menyebut:
Maksudnya: “Bila
ulama dan umara (pemimpin) baik, umat Islam pun akan baik.”
Dalam hadis ini, ulama didahulukan kemudian
barulah umara. Ulama memberi ilmu dan memberi tauladan. Kalau hendak
dilaksanakan secara global, ulama tidak berkemampuan oleh sebab tidak ada kuasa
dan kekuatan. Umara pula mempunyai kekuatan ekonomi, politik dan negara. Umara ialah
seseorang yang boleh menggerakkan rakyat.
Nah! Jelas di sini, bukan?
Oleh sebab itulah umara perlu bergantung kepada
ulama! Kemudian umara tersebut akan apply dan mempraktikkan nasihat dan
ajaran ulama kepada rakyatnya, kepada semua lapisan masyarakat di bawah
kekuasaannya.
Yang menjadi masalah pada hari ini ialah rakyat
dan masyarakat tidak faham siapa itu ulama. Mungkin juga umara tidak kenal siapa
ulama yang sebenarnya. Kemudian ada pula orang yang merasakan dirinya ulama hanya
kerana kebolehannya bercakap dan boleh membaca ayat Al Quran. Masyarakat pun
menganggap turut menganggap individu tersebut ulama dan menuruti setiap patah
katanya.
Sebenarnya ulama itu bukan individu tertentu
yang melantik dirinya menjadi ulama hanya kerana sedikit ilmu yang ada pada
dirinya. Kemudian dengan bangganya menubuhkan pula persatuan ulama. Ini tidak
pernah berlaku dalam sejarah Islam! Title ulama di sisi Tuhan bukan diukur
pada degree atau ijazah, ilmu atau jawatan seseorang. Seseorang individu
itu sendiri tidak boleh dan tidak berhak mengaku diri sendiri sebagai ulama
dengan sewenang-wenangnya.
Sudah tentu... wallahual’lam, hanya Allah jua Yang
Maha Mengetahui.
Namun begitu, jangan pandang enteng akan
perihal ini. Bagi penulis, isu ini amat penting supaya umat tidak keliru
siapa yang sepatutnya mereka ikut dan pimpinan mana yang patut mereka terima.
Imam Syafie contohnya, rakyat mengakui dia ulama tetapi dia sendiri tidak
mengakui dirinya ulama. Imam Ghazali juga dikata orang sebagai ulama tetapi dia
sendiri tidak pernah mengakui dengan kedua ulas bibirnya. Ulama atau tidak
bukan berdasarkan penilaian orang ramai. Bukan juga pada penilaian kerajaan dan
lebih-lebih lagi bukan atas dasar merasakan diri sendiri ulama.
Nah!
Kalau begitu, siapakah sebenarnya ulama?
Istilah ulama adalah dari bahasa Arab.
Maksudnya dari segi bahasa ialah orang-orang alim atau orang-orang pandai.
Boleh dikatakan juga para ilmuan dan para cerdik pandai. Pada segi bahasa,
ulama itu adalah orang alim dalam apa sahaja bidang ilmu sama ada ilmu dunia
mahupun ilmu akhirat, ilmu baik atau pun ilmu jahat, tidak kira ilmu itu
diamalkan atau pun tidak. Orang yang mempunyai ilmu dalam bidang ekonomi
misalnya, digelar ulama. Begitu juga yang mengetahui ilmu usuluddin, juga
digelar ulama.
Berdasarkan fahaman dan pengertian inilah kita
sekarang memberi gelaran ulama kepada seseorang, iaitu sesiapa sahaja yang alim
dalam bidang ilmu apa pun, kita panggil dia ulama.
Pengertian ulama dalam Islam berbeza.
Di samping ilmu, dia perlu ada syarat-syarat
yang lain seperti di bawah:
1. Beriman
Ulama itu mestilah dari kalangan orang-orang
yang beriman.
Firman Allah: Maksudnya:
“Allah mengangkat mereka yang beriman di kalangan kamu dan mereka yang diberi
ilmu itu beberapa darjat.” (Al Mujadalah: 11)
2. Beramal
Mereka mestilah beramal dengan ilmu mereka.
Seperti kata Abu Darda`: Maksudnya: “Tidak dianggap seseorang itu alim sehinggalah dia beramal
dengan ilmunya. “
3. Takutkan Tuhan
Mereka mestilah orang yang takut dengan Tuhan.
Firman Allah: Maksudnya: “Hanyasanya yang takut dengan Tuhan Itu ialah ULAMA.
” (Al Fathir: 28)
Di sini ada dua perkara besar. Ada dua
perkataan di dalam ayat ini yang menjadi kunci iaitu ulama dan takut.
Oleh itu, ulama di sini ialah orang yang ada ilmu, Yakni ada ilmu dunia dan
ilmu Akhirat, ada ilmu tentang Tuhan, tentang syariat dan tentang akhlak.
Kemudian dia takut dengan Tuhan.
Setelah itu, Tuhan berfirman lagi, kalau ulama
itu mempunyai ilmu dunia dan ilmu Akhirat dan dia takut pula dengan Tuhan, maka
Tuhan perintahkan melalui ayat-Nya: Maksudnya: “Hendaklah
kamu bertanya (tentang Akhirat, tentang dunia iaitu hal-hal ekonomi, masyarakat
dan lain-lain) kepada ahli zikir jika kamu tidak mengetahui.” (An
Nahl: 43)
Rupanya, ulama itu ialah ahli zikir.
Ahli itu orangnya. Zikir itu sifatnya. Ertinya ulama itu, hatinya terhubung
dengan Tuhan dan sentiasa terisi dengan rasa cinta dan takutkan Tuhan. Hatinya
sentiasa hampir (qarib) dengan Tuhan kerana itulah maksud zikir yang
sebenarnya. Zikir bukan setakat memegang biji tasbih dan melafazkan
istilah-istilah dan ayat ayat zikir. Itu belum boleh dikatakan zikir kerana
hanya dibibir sahaja. Belum terasa di hati. Zikir itu ialah apa yang dirasakan
di hati. Dengan kata-kata yang lain, ulama itu setidak-tidaknya bertaraf muqarabbin.
Ertinya lagi, ulama itu ilmunya mendarah
daging. Maksudnya dia tidak payah buka kitab. Bila ditanya tentang ilmu Islam,
dia boleh terus jawab. Bila dia ditanya tentang masyarakat Islam, pejam-pejam
mata sahaja, dia boleh jawab. Kalau perlu buka kitab, itu guru hendak
mengajar atau muailim, bukan ulama. Lagipun apa yang ada dalam kitab itu
ilmu orang lain bukan ilmu dia. Kalau buka kitab Imam As Syafie, maka itu ilmu
Imam As Syafie. Kalau buka kitab Imam Al Ghazali, maka itu ilmu imam Al Ghazali.
Dia hanya menyampaikan ilmu orang. Kalau hanya setakat menyampaikan ilmu orang
lain, tidak bolehlah dikatakan ulama.
Ulama atau ahli zikir ini, hatinya ibarat
gudang. Segala jenis barang ada di dalamnya. Mintalah apa sahaja yang
diperlukan, nescaya dia boleh bagi. Hendak minta apa pun, semua ada di dalam
gudang itu. Dia tidak rujuk kepada orang. Malahan dia adalah tempat rujuk. Dia
tidak merujuk kepada kitab yang ditulis oleh orang. Dia merujuk kepada hatinya
yang penuh dengan ilmu. Sebab itulah, bila disuruh bertanya, Allah tidak sebut
tanya guru. Tetapi tanyalah ahli zikir.
Oleh itu, kalau kerajaan atau umara, orang
besar atau kecil atau rakyat hendak bertanya, tanyalah ulama atau ahli zikir
seperti ini. Jangan tanya para ustaz atau muailim. Walaupun mereka mempunyai
ijazah, hakikatnya mereka faham hanya satu-satu bab sahaja dari ilmu Islam.
Pemimpin sebenar (umara) perlu bergantung
kepada ulama atau ahli zikir seperti ini. Kemudian dia apply dan
praktikkan ilmu dan nasihat ulama tersebut kepada masyarakat. Ulama seperti ini
tidak perlu menonjolkan diri. Kalau dia perjuangkan ilmunya, dia akan tertonjol
sendiri.
No comments:
Post a Comment