Showing posts with label KEPIMPINAN. Show all posts
Showing posts with label KEPIMPINAN. Show all posts

Saturday, 2 June 2012

PEMILIHAN PEMIMPIN YANG BENAR



Memilih pemimpin negara adalah amanah besar dalam Islam, yang disebut Ulil Amri. Al-Quran mengesahkan semua rasul menentang sekeras-kerasnya ajaran yang memartabatkan pemimpin kerajaan sehingga dianggap Maha Suci daripada segala kesalahan. Di zaman keemasan umat Islam menjadi kuasa besar dunia, setiap Uli al-Amri yang dinamakan Khalifah diharamkan bersikap Maha Suci seperti Tuhan Yang Maha Esa (Allah S.W.T)

Rasulullah S.A.W bersabda : “Ketaatan terhadap pemimpin hanya dalam perkara yang baik “. Ucapan ini adalah menafsirkan perintah Allah yang dihayati di masa baginda sendiri menjadi ketua negara dan wajib diikuti oleh umatnya.

Ucapan  Abu Bakar R.A apabila dipilih menjadi ketua negara selepas wafatnya Rasulullah S.A.W : “Wahai tuan-tuan ! saya telah dipilih menjadi pemimpin kamu, padahal saya bukannya orang yang terbaik di kalangan kamu. Sekiranya saya dalam keadaan yang baik tolonglah saya, sekiranya saya dalam keadaan yang buruk perbetulkan saya. Benar adalah amanah, bohong adalah khianat ......”. Beginilah juga ucapan setiap pemimpin yang dilantik selepasnya.

Amalan sistem pemerintahan Islam yang dibukukan dan dicatit oleh para ulama Islam daripada semua mazhab menjadi kajian para orentalis. Kitab-kitab seperti Muqaddimah Ibn Khaldun, Ahkam Sultaniyyah, Adab al-Wazir dan lain-lain  diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa Eropah mempengaruhi perkembangan Demokrasi Moden yang diamalkan oleh negara Barat. Walaupun mereka menerima dengan fahaman sekularisme yang dianut, memisahkan politik daripada agama, namun pengaruh inilah yang mewujudkan sistem pilihanraya yang adil dengan memberi hak kepada rakyat menjadi hakim terhadap kerajaan dan para pemimpin kerajaan yang boleh dijatuhkan sekiranya berlaku kesilapan atau kelemahan dalam mentadbir negara, rakyat pula diberi hak dalam urusan pemerintahan secara beradab. Sistem yang adil ini menggantikan revolusi rakyat secara berdarah yang banyak berlaku seperti di England, Perancis dan lain-lain. Akhirnya terciptalah demokrasi moden dengan mewujudkan pilihanraya yang adil.

Bagi mewujudkan penghakiman yang adil oleh rakyat melalui pilihan raya, maka rakyat diberi kefahaman yang benar berkenaan pilihanraya. Mereka benar-benar  memahami hak  mereka dengan larangan tegas secara undang-undang terhadap ugutan, sogokan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Pihak media diletakkan sebagai saksi yang melaporkan semua pihak kepada rakyat yang menjadi hakim, samada pihak kerajaan yang dituduh atau pihak pembangkang yang menuduh. Pihak Suruhanjaya Pilihanraya adalah badan yang bebas bagi mengendalikan urusan pilihanraya mengikut sistem pemisahan kuasa di antara badan kehakiman, perundangan dan pentadbiran yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W ketika menegakkan negara contoh di Madinah.

Sistem ini diterima oleh semua parti Islam di seluruh dunia termasuk di Malaysia, yang ditubuhkan  daripada gerakan tajdid dan islah kerana demokrasi moden menjadi medan  politik paling sesuai dengan Islam yang mengutamakan secara damai.  Keseluruhan negara Barat dan termasuk negara komunis sekarang telah berubah, menerima sistem demokrasi pilihanraya yang adil, sehingga tidak ada parti dan pemimpin kerajaan boleh mendabik dada bahawa mereka Maha Suci daripada segala sifat kekurangan dan tidak ada kesilapan langsung.

Sistem demokrasi moden ini menjadikan parti kerajaan dan pemimpinnya sentiasa berwaspada dan sedia ditolak dan dihukum oleh rakyat, maka berlakulah perlumbaan yang sihat bagi melakukan yang baik dan menolak yang munkar, menjadikan riadah yang menjadikan hak rakyat dan kerajaan sentiasa sihat, kerana silih berganti apabila berlaku setiap kelemahan dan para pemimpin sangat berhati-hati menunaikan amanah.

Di Amerika pernah dibatalkan kemenangan seorang presiden dalam peristiwa yang terkenal dengan nama skandal Water Gate. Di England  pula menjatuhkan kerajaan kerana skandal salah seorang menteri kabinetnya dengan pelacur yang berkait dengan perisikan negara asing. Di India membatalkan kemenangan seorang perdana menteri kerana menyalahgunakan jentera kerajaan dan banyak lagi. Di zaman kini banyak negara yang dibelenggu dengah sistem dictatorship terpaksa berubah kepada sistem demokrasi pilihanraya yang adil.

Negara kita Malaysia yang tercinta ini mengalami sistem demokrasi menuju ke arah yang lebih buruk dan memalukan. Surahanjaya Pilihanraya yang tidak bermaya untuk melakukan reformasi demokrasi yang sebenar kerana tidak diberi kuasa yang sebenar mengikut takrif demokrasi dan tidak berlaku pemisahan kuasa yang sebenar. Kedudukannya berada di bawah siapa parti yang memerintah mengikut arahan secara nyata dan sulit bagi mengekalkan sistem satu parti seperti negara komunis, secara agenda yang diatur begitu rupa. Media arus perdana sebelah pihak yang menutup minda rakyat mengetahui segala kelemahan kerajaan, seolah-olah  menjadikan kerajaan itu Maha Suci sepanjang hayat seolah-olah tidak ada ajal dan tidak ada hari kiamat. Daftar pengundi yang tidak masuk akal, seperti jumlah isi rumah laksana sebuah kampung dan  penduduk kampung yang ramai laksana satu daerah kerana terlalu gelojoh mangambil pengundi bagi menjamin kemenangan parti yang sedang memerintah walaupun sudah banyak senarai penyelewengan sehingga dilupai yang telah berlaku sebelumnya tanpa tindakan yag adil. Politik wang yang membarah ke dalam parti kerajaan dan masuk pula ke dalam rakyat, ke lapangan pilihanraya umum.

Semua yang berlaku adalah kemungkaran yang mencalarkan imej Islam yang menjadi agama negara mengikut perlembagaan dan banyak kemungkaran yang wajib dicegah dan kezaliman yang wajib disanggah.


Rasulullah S.A.W mengizinkan para sahabatnya keluar beramai-ramai daripada persembunyian mereka di Makkah selepas Islamnya Hamzah dan Umar R.A bagi menunjukkan sikap mereka terhadap pamimpin Makkah yang zalim  secara terbuka dan aman tanpa senjata.

Ketika berada di Madinah dan telah wujud negara yang berkuasa, tiba-tiba Rasulullah S.A.W bersabda kepada para sahabatnya, menyebut  peristiwa lama berlaku sebelum dilantik manjadi Rasul: ”Aku pernah dibawa oleh bapa-bapa saudaraku ke rumah Abdullah bin Judaan bagi mengadakan Halaf Fudul  (persefahaman dan kerjasama) bagi membela mereka yang dizalimi dan menentang mereka yang zalim secara bersama. Sekiranya perkara ini dibawa kepadaku sekarang nescaya aku menyertainya “.

Rasulullah menerima secara positif segala sifat yang baik secara fitrah yang ada dalam diri manusia termasuk bukan Islam, sehingga menghargai keluarga Hatim al-Toei  seorang pemimpin kabilah yang suka menolong dan meraikan tamu  di zaman jahiliyyah dan banyak lagi contoh yang lain.

Ajaran Islam meletakkan politik adalah amanah  besar yang diamalkan para Rasul seluruhnya, tiba-tiba dikotori dengan banyak perkara yang memalukan, seperti menyalahgunakan kuasa secara penipuan dan zalim bukannya bertahan dengan akhlak yang mulia. Amanah politik dijadikan peluang mengumpul harta dan menaikkan pangkat, bukannya amanah yang wajib ditunaikan. Harta dan kuasa dijadikan senjata mengugut rakyat, laksana dajjal yang zahir di akhir zaman, menawarkan kesenangan untuk pengikutnya sahaja, sesiapa yang tidak mengikutnya menerima padah.

Ingatlah amanat Rasulullah S.A.W: “Sama ada kamu menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran atau berdiam diri, nescaya orang-orang yang jahat memerintah kamu, lalu orang-orang yang baik berdoa, tiba-tiba doanya tidak diperkenankan oleh Allah“.  Sabdanya lagi: ” Menyatakan yang benar kepada kerajaan yang zalim adalah jihad paling afdal “.


Akhirnya, kalau bangsa Melayu masih tidak menegakkan Islam yang sebenar, berlakulah amaran Allah:

وَإِنْ تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ  38

Maksudnya: Sekiranya kamu berpaling (tidak mahu menegakkan agama kamu) nescaya Allah menukarkan kaum lain, kemudian mereka tidaklah seperti kamu. (Surah Muhammad: 38)


Sunday, 25 December 2011

Surat Terbuka Kepada Orang Melayu : Islam Didahului, Melayu Bersamanya


Islam didahulukan, Melayu bersamanya. Bukan Melayu didahulukan, Islam mengikutnya, kerana Islam ditegakkan Melayu selamat. Kalau Melayu ditegakkan diatas aqidah kebangsaannya, Melayu sesat, Islam terpinggir. 

Kecintaan kepada keluarga, kaum dan bangsa adalah fitrah yang digalakkan oleh Islam, tetapi menjadikannya aqidah perjuangan adalah satu kesesatan. Rasulullah S.A.W. memulakan perjuangan dengan keluarga dan kaumnya, tetapi dengan aqidah dan berpandukan Islam. 

Rasulullah S.A.W. adalah ikutan yang dilantik oleh Allah, bukan dilantik melalui pilhanraya atau perhimpunan agung mana-mana parti. Apabila Rasulullah S.A.W. dilantik menjadi Rasul akhir zaman kepada seluruh alam, dipilih daripada kalangan bangsa arab qabilah Quraisy, paling jahil, miskin dan berada ditangah padang pasir paling gersang, tetapi menjadi paling sabar, berani dan paling lasak menghadapi cabaran kalau ditarbiyah. Bangsa arab seluruhnya berpecah dan berperang sesama sendiri. Semenanjung arab, tanah air mereka dijajah oleh kuasa besar dunia Parsi dan Rom. Pesoalannya apakah yang didahulukan oleh Rasulullah S.A.W? Sama ada memulakan perjuangan diatas semangat kebangsaan arab, satukan mereka terlebih dahulu diatas semangat kebangsaan itu, tegakkan perjuangan kemerdekaan menentang penjajah Parsi dan Rom, selepas itu Islam boleh tegak dengan sendiri besamanya. Atau mulakan dengan Islam, perkasakan bangsa arab dengan Islam yang  sempurna, aqidah, syariat dan akhlak? 

Ucapan pertama  disampaikan kepada penduduk Makkah dengan arahan wahyu daripada Allah ialah, firman Allah:

قُلْ يَاأَيُّهَا النَّاسُ إِنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكُمْ جَمِيعًا الَّذِي لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ لا إِلَهَ إِلا هُوَ يُحْيِي وَيُمِيتُ فَآمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ النَّبِيِّ الأمِّيِّ الَّذِي يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَكَلِمَاتِهِ وَاتَّبِعُوهُ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ } [الأعراف: 158

158.  Katakanlah: "Hai manusia Sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepada kamu semua, iaitu Allah yang mempunyai kerajaan langit dan bumi; tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia, yang menghidupkan dan mematikan. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, Nabi yang ummi yang beriman kepada Allah dan kepada kalimat-kalimat-Nya (kitab-kitab-Nya) dan ikutilah Dia, supaya kamu mendapat petunjuk."

Bukan dengan seruan hidup arab Islam selamat !, hanya bangsa arab yang boleh menegakkan Islam , macam selogan Umno :”hidup Melayu!”.

Tegasnya bahawa Rasulullah S.A.W. memulakan perjuangan mengajak bangsa mengikut Islam, bagi memerdekakan diri daripada jahiliyah dalam diri sendiri  terlebih dahulu dengan bangsanya mengikut Islam. Walaupun mendapat tentangan hebat daripada pemimpin kaum bangsa dan keluarganya sendiri, sehingga dihalau daripada tanah air tempat dilahirkannya  (Makkah). Kemudian menggunakan kuasa pemerintahan Islam yang ditegakkan oleh kaumnya yang menerima Islam dengan beriman mengikutnya dengan sempurna dan mengumpul serta menyatukan mereka dengan Islam. Kemudian kembali semula ke Makkah untuk memerdekakannya daripada kuasa pemeritahan jahiliyah arab  yang dipimpin oleh ayah mertuanya sendiri Abu Sufian bin Harb. 

Allah mewafatkan Rasulullah S.A.W. setelah Ajaran Islam disempurnakan secara wahyu serta cara beramalnya dinyatakan oleh Sunnah Rasulullah S.A.W. dan setelah menyampaikan mesej Islam secara bersurat yang dihantar kepada negara dan bangsa yang bukan arab. Ada yang menerima Islam, ada yang tidak menerima tetapi berdamai dan ada yang mengambil sikap permusuhan. 

Sebelum wafat Rasulullah S.A.W. Allah menegaskan kepadanya secara wahyu kepada bangsa arab yang menganut Islam supaya berpandukan Islam, diantaranya Allah memberi amaran :

وَإِنْ تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ (38 ) مخمد

38. Jika kamu berpaling (daripada menegakkan Islam) niscaya dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini. (Surah Muhammad)

Khalifah Abu Bakar mengambil alih memimpin negara menentang bangsa arab yang murtad (berpaling tadah menentang Islam). Penyelewengan berlaku dengan bantuan penjajah Parsi dan Rom. Setelah Khalifah Abu Bakar berjaya mengalahkan bangsa arab yang murtad maka dimulakan dakwah mengajak kaum lain kepada Islam tanpa paksaan. 

Dua kuasa besar dunia menentang secara ketenteraan kerana menganggap bangsa arab yang menganut Islam itu masih lemah saperti sebelum Islam. Tiba-tiba dua kuasa besar dunia ikut tumbang kerana jahiliyyahnya,  walau pun mereka maju daripada segi kebendaannya, tetapi dibejati kezaliman dan maksiat. Khalifah Umar R.A. yang berjaya menjatuhkan dua kuasa besar dunia itu manyampaikan ucapannya ketika berada di Kota Suci Bait Al Maqdis:
.

(Kita adalah bangsa yang diberi kemuliaan oleh Allah dengan Islam, sekiranya kita mencari kemuliaan yang lain daripada apa yang telah dikurnia Allah, nescaya kita akan ditimpa hukuman Allah menjadi bangsa yang hina). 

Ketika bangsa arab yang menganut Islam masih berpegang dengan ajaran Islam, mereka terus memimpin negara yang paling besar dalam sejarah, bersama masyarakat majmuk berbagai bangsa dan agama. Mereka mengislamkn bangsa lain tanpa paksaan dan mengislam ilmu serta kebijaksanaan daripada berbagai bangsa, sehingga melahirkan tamadun Islam yang paling hebat dalam sejarah manusia. 

Apabila bangsa Arab menjadi leka terhadap Islam, maka Allah menukarkan bangsa bukan arab yang menganut Islam dan berpadukan Islam serta  menegakkannya. Bangsa lain mengambil alih pemerintahan telah melahirkan ilmuan Islam dan pemimpin negara. Manakala bangsa arab menjadi rakyat dibawah pemerintahan Islam, oleh para ulama dan pemimpin bukan berbangsa arab, saperti Kurdis, Turki, Bukhara dan lain-lain. 

Bangsa Melayu di Asia Tenggara turut sama menjadi bangsa yang perkasa apabila mereka menganut Islam dan raja-rajanya memerintah dengan Islam. Bahasa Melayu berhuruf Al Quran bertamadun menjadi bahasa ilmu dirantau ini. 

Kedatangan penjajah yang mampu menguasai dunia Islam, termasuk dunia Melayu di rantau ini apabila mereka lemah berpegang dengan ajaran Islam. Cahaya Islam yang sedikit tidak boleh dipadamkan masih bersuluh membangkitkan perjuangan menentang penjajah. 

Walaupun penjajah asing sudah meninggalkan tanahair kita, tetapi kesan daripadanya masih wujud dengan tabal. Kita tidak dapat mengambalikan jati diri malainkan dengan kembali menjadikan Islam tertegak dihadapan kita yang menjadi panduan seluruh cara hidup beragama dan bermasyarakat. Ini saperti yang pernah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W dengan petunjuk Allah dan diperingatkan oleh Khalifah Umar bin Al Khattab R.A. 

Mari kita menjadi bangsa yang insaf dengan muhasabah diri, bagaimana bangsa arab yang berjumlah ratusan juta, di tengah kekayaan hasil minyak yang tidak terkira,  dipermainkan oleh kuasa barat yang pernah menjajah mereka. Mereka tidak mampu berdepan dengan segelintir bangsa yahudi zionis yang diletakkan oleh penjajah bagi menjaga kepentingannya di Asia barat. Ini kerana mereka berpaksikan kebangsaan arab dan meminggirkan Islam di belakang mereka. Satu agenda penjajahan pemikiran yang sengaja dirancang bergitu rupa. 

Hari ini bangsa arab mula sedar dan bangkit bersama Islam dengan memulakan kemenangan Islam secara aman memalalui pilihanraya yang adil setelah ditekan oleh pemimipin bangsa sendiri secara kuku besi. 

Umno adalah pelakon yang sama memimpin negara yang dikatakan merdeka, dengan semangat hidup Melayu, Islam selamat. Nyata bahawa Melayu tidak selamat dengan cara Umno. Islam cara Umno  tidak mampu memperkasakan Melayu, kerana Melayu didahulukan, Islam tidak memandunya kerana tidak djadikan panduan. Maka bangsa Melayu tidak mampu bersaing dengan kaum lain dalam masyarakat majmuk. 


Kita wajib menerima hakikat masyarakat majmuk yang diatur oleh penjajah ditanah air kita. Setelah mereka menjajah bangsa Melayu yang lebih dahulu yang bercampur dengan kaum pribumi berada ditanahair ini. Penjajah membawa kaum lain yang dijajah juga, untuk sama-sama diperhambakan untuk kepentingan penjajah barat. Bangsa Melayu dan penduduk asal yang lain terus dipinggir dikawasan luar bandar dengan keadaan terbiar dalam kemiskinan. Kaum Cina pula menjadi buruh di lombong-lombong  dan sebahagiannya di bandar dan kaum India menjadi buruh di ladang-ladang. Semua kaum diperkudakan untuk kepentingan penjajah dan seterusnya diatur untuk dilagakan diantara satu sama lain, untuk terus diperintah atau menjaga kepentingan penjajah  selepas merdeka. 

Mengikut Islam bahawa masyarakat majmuk adalah satu adunan yang baik sekiranya dimanfaatkan dengan bijak, sekiranya wujud kedudukan yang seimbang dan saksama diantara satu sama lain. Kaum lain telah menerima hakikat bangsa Melayu yang beragama Islam adalah teras kepada negara dengan hak yang adil secara sama dengan kaum yang lain, kerana jumlah mereka lebih besar. Tiba-tiba kedudukan orang Melayu yang beragama Islam ketinggalan jauh dibelakang dari segi pendidikan, ekonomi, politik dan lain-lain. Ini menyebabkan rasa tidak puas hati terhadap kaum lain, dengan terpinggir secara nyata di Singapura, Pulau  Pinang dan negeri-negeri lain di pantai barat dan Malaysia Timur. Semua negeri-negeri ini pada awalnya dipimpin oleh Umno yang bertemakan hidup Melayu mafhumnya tegaklah Islam. 

Pemimpin memandang enteng perkara berkaitan kedudukan orang melayu. Akhirnya orang Melayu bukan sahaja terus dalam keadaan lemah, tidak mampu bersaing dengan kaum lain. Bukan sahaja ketinggalan dalam ekonomi dibumi sendiri, walaupun diberi tongkat hak istimewa Melayu dan bumiputera, bahkan ketinggalan dalam pendidikan dan kesedaran berpolitik. Pemimpin yang tidak boleh menjadi model Islam kepada bukan Islam dan tidak mampu memimpin kumpulannya dan bangsanya sendiri, apatah lagi negara, tetapi lebih berlagak mampu dengan mempertahan kuasa dengan apa sahaja, kerana dibejati penyakit zalim dan fasad. Zalim mengikut takrif Islam ialah meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya dalam segala bidang, seperti kehakiman, pentadbiran, ekonomi dan lain-lain aspek. Fasad pula ialah kemunkaran dalam segala aspek saperti rasuah dan segala maksiat terhadap Allah, diri sendiri dan masyarakat. 

Wahai pemimpin negara Islam! Bermuzakarahlah secara ilmu Islam dan adabnya bagi selamatkan umat dan negara dengan Islam! Mengajak kepada Islah sekadar kemampuan, kerana bukan cara menyelamatkan negara dengan mengapi-apikan semangat perkauman yang menegangkan hubungan diantara kaum dan agama. Caranya ialah dengan konsep adil untuk semua dan menjaga hak masing-masing secara adil, serta ruang demokrasi dengan batas-batas dan sempadannya yang sebenar secara ikhlas bukan secara menipu. 


Islam akan bangkit! penulis yakin kebenaran akan tertegak suatu hari nanti. marilah kita bersama-sama mengorak langkah menuju sebuah negara Islam yang tertegak dengan ketauhidan dan kasih-sayang. 


cinta ALLAH, 

cinta RASULULLAH

cinta dan makrifat....