Adat perlawanan ada kalah, ada yang menang. Sama seperti pilihanraya, ada parti menang, ada yang kalah. Cuma Islam marah kalau menang secara tipu. Berdosa juga kalau kita redha kita ditipu. Sebab itu penipuan dan tidak telus merupakan suatu yang munkar, wajib ditegah. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Siapa yang melihat kemunkaran wajib mencegah dengan tangan (kuasa), jika tidak mampu maka cegah dengan lidah, jika tidak mampu dengan hati. Ini adalah selemah-lemah Iman".
Tidak perlu kecewa jika kalah di dalam pertandingan. Jangan angkuh dan sombong jika diberi kemenangan. Bertasbih dan bersyukur memuji Allah serta dengan sujud syukur sebagai tanda kebesaran Allah yang memberi kemenangan. Ingat kemenangan adalah amanah yang perlu dipikul. Amanah boleh mendekatkan ke syurga atau ke neraka. Kita perlu mengambil posisi mana yang sesuai untuk meletakkan diri kita agar kita adalah orang yang bersama dengan para Anbiya' di akhirat. Jika berlaku sebaliknya maka kita akan bersama dengan Firaun, Haman, Qarun. Nauzubillah. Sebenarnya ujian bagi yang menang lebih sukar daripada yang kalah. Mempertahankan kemenangan lebih sukar daripada mencapai kemenangan.
Oleh itu bagi mereka yang menang pertingkatkan tarbiah ruhiah dan perkasakan tarbiah fardiah. Ini adalah benteng kekuatan untuk menghadapi cabaran sewaktu memikul amanah jamaah. Ujian menang begitu sukar jika kita tidak mempunyai ketahanan dalaman. Berbagai penyakit mazmumah begitu mudah menetas di dalam jiwa mereka yang menang. Penyakit riya', suma'ah, takbur, bakhil, ujub cukup subur jika kita tidak awasi.
Ujian bagi mereka yang kalah, bahawa penilaian Allah ialah bukan menang atau kalah. Tetapi nawaitu kita dengan perjuangan. Kemenangan di dalam perjuangan Islam ialah apabila kita telah berjaya meletakkan diri kita berintima' (bersama) jamaah. Kita sudah merintis jalan untuk orang yang terkemudian daripada kita untuk memperolehi kemenangan. Mungkin kita tidak sempat mencapai kemenangan. Ia akan menjadi amal jariah sewaktu kita bertemu dengan Allah. Jangan ada rasa kecewa atau putus asa di dalam perjuangan. Maksud Firman Allah: "Jangan kamu putus daripada Rahmat Allah".
Pesanan al-Marhum Sayyid Qutb kepada adiknya Hamidah dan Aminah Qutub ketika saat beliau hendak ke tali gantung. "Kamu akan merasa sempit dada jika kamu merasakan kamu yang memulakan dan kamu yang mengakhiri perjuangan. Kamu akan merasa lapang dada jika kamu merasakan bukan kamu yang memulakan perjuangan dan mengakhiri perjuangan."